SELESAI SUDAH ..

Alhamdullah selesai sudah program Smart Camp 2010 di Kem Sri Raudhah, Gombak. Program ini merupakan program ke-3 yang telah dianjurkan oleh Thursina Training Center (TTC). yang disertai oleh 75 orang pelajar dari Terengganu, Johor, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur. Para peserta terdiri daripada pelajar tahun 4, 5, 6 dan pelajar menengah. Peserta telah dibahagikan kepada 7 kumpulan dimana mereka perlu mencipta moto dan cheers kumpulan masing-masing. Terdapar 5 orang urusetia dan 16 orang fasilitator yang turut hadir bagi melancarkan perjalanan program.
Program ini adalah khusus kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Ianya bertujuan untuk memberi pemahaman tentang tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan kesedaran tentang betapa pentingnya pelajaran dalam kehidupan. Ianya juga bertujuan bagi membina potensi diri ke arah bijak menguruskan masa, bekerjasama, bersikap positif, yakin diri dan berupaya membuat keputusan dalam menyelesaikan sebarang masalah.
Di antara pengisian program yang telah dijalankan adalah sesi ceramah yang telah disampaikan oleh penceramah luar iaitu En. Mohd Helmi Md Suhaimi. Beliau merupakan seorang Perunding Profesional Talent Devolepment Consulting khusus untuk motivasi perkembangan diri. Motivasi yang telah disampaikan kepada peserta yang hadir adalah mengenai tips-tips menjawab soalan peperiksaan dengan mudah serta tips bagaimana menghadapi situasi sebelum, semasa dan selepas peperiksaan. Melalui sesi ceramah ini, ianya dapat memberi kesedaran kepada pelajar mengenai perancangan dan langkah-langkah persediaan sebelum menghadapi peperiksaan. Pelajar juga dapat mengetahui teknik-teknik berkesan bagi menjawab soalan peperiksaan mengikut kehendak soalan.
Selain itu, sesi ceramah juga turut disampaikan oleh penceramah dalaman Cik Arbaiyah dari pihak Thursina Training Center iaitu bertajuk Kenapa pilih Kejayaan. Melalui ceramah ini, pelajar dapat mengetahui definisi kejayaan yang sebenar serta bagaimana cara dan langkah-langkah terbaik untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya.
Antara aktiviti lain yang juga menarik minat peserta adalah aktiviti Indoor Game, Treasure Hunt dan Jungle Tracking dengan menyusuri belukar dan anak sungai yang mengambil masa 3 jam perjalanan. Peserta berasa seronok kerana dapat melihat pemandangan flora dan fauna ciptaan Tuhan yang begitu indah dan mereka juga turut berpeluang menikmati keindahan air terjun. Sememangnya aktiviti yang telah dijalankan sepanjang smart camp ini dapat memupuk sikap saling membantu rakan sepasukan serta mengukuhkan ciri dan nilai kepimpinan dalam diri, melahirkan seorang pemimpin masa depan yang karismatik, berketrampilan dan bertaqwa.
Di akhir program para peserta telah menyaksikan tayangan slide sepanjang aktiviti yang telah dijalankan bagi Smart Camp 2010.
Majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh Pengarah Thursina Training Center. Sebelum bersurai, para peserta telah menerima sijil penyertaan oleh pihak TTC.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More